Prinsip Ujian keserasian darah

    Maklumat selanjutnya: Jenis darah
Antigen dan antibodi ABO

Kumpulan-kumpulan darah ditakrifkan mengikut kehadiran atau ketiadaan antigen-antigen tertentu pada permukaan sel-sel darah merah. Kumpulan darah yang paling penting dalam bidang perubatan ialah kumpulan antigen ABO dan RhD [5] namun terdapat banyak sistem kumpulan darah lain yang relevan secara klinikal dalam beberapa keadaan tertentu. Sehingga ke tahun 2021, terdapat 43 kumpulan darah yang diiktiraf secara rasmi. [6]

Kekurangan antigen sesuatu kumpulan darah tertentu pada sel darah merah seseorang menyebabkan pembentukan antibodi terhadap antigen ini. Contohnya, seseorang yang mempunyai darah jenis A akan menghasilkan antibodi melawan antigen B. Antibodi-antibodi kumpulan darah ABO berlaku secara semula jadi, maksudnya antibodi tersebut boleh ditemui pada seseorang yang tidak pernah terdedah dengan darah yang tidak serasi. [5]:585–92 Antibodi-antibodi yang melawan kebanyakan antigen kumpulan darah lain, termasuk RhD, menjadi lebih banyak selepas seseorang itu terdedah dengan antigen melalui transfusi atau kehamilan. [1] Sesetengah antibodi ini boleh mengikat sel darah merah yang tidak serasi dan memusnahkannya, sehingga menyebabkantindak balas transfusi serta komplikasi yang lain. [7]:210–11

Kaedah-kaedah serologi untuk ujian keserasian darah menggunakan prinsip tindak balas antara antibodi dan antigen. Sewaktu penggolongan darah, antiserum yakni reagen yang mengandungi antibodi kumpulan darah tertentu, [5]:586 akan ditambah ke dalam ampaian sel-sel darah seseorang. Jika wujudnya antigen tertentu, antibodi-antibodi dalam reagen tersebut akan menyebabkan sel darah merah beraglutinat (yakni bergumpal), dan boleh dikenal pasti secara penglihatan. [1]:65 Sewaktu saringan antibodi, plasma seseorang akan diuji dengan satu set sel darah merah yang dikenal pasti profil antigennya; jika plasma beraglutinat dengan salah satu jenis sel darah merah dalam panel, maka seseorang itu mempunyai antibodi melawan salah satu jenis antigen yang terdapat pada sel panel tersebut. Sewaktu penyerasian silang, plasma calon penerima darah ditambah pada sel darah merah penderma dan diperiksa sama ada penggumpalan (atau hemolisis) wujud atau tidak, supaya dapat mengesan antibodi yang boleh menyebabkan tindak balas transfusi. [3]

Antibodi-antibodi kumpulan darah wujud dalam dua bentuk utama: imunoglobulin M (IgM) dan imunoglobulin G (IgG). Kebanyakan antibodi adalah dalam bentuk IgM (contohnya antibodi ABO) yang biasanya menyebabkan sel darah merah beraglutinat serta-merta pada suhu bilik. Sebab itulah jenis kumpulan darah ABO seseorang boleh ditentukan hanya dengan menambah sel darah merah ke dalam reagen kemudian campuran sampel itu diempar atau digaulkan, [1]:122 dan untuk penyerasian silang, ketidakserasian antara jenis kumpulan ABO boleh dikesan serta-merta selepas pengemparan. [3]:725 Penggolongan RhD juga biasanya menggunakan reagen IgM [8]:477 walaupun anti-RhD biasanya wujud dalam bentuk IgG di dalam badan. [1]:161 Antibodi yang kebanyakannya IgG, seperti antigen-antigen dalam sistem Duffy dan Kidd, [1] secara amnya tidak menyebabkan pengaglutinatan segera kerana saiz antibodi IgG yang kecil menghalang pembentukan struktur kekisi. Oleh itu, penggolongan darah menggunakan antiserum IgG dan pengesanan antibodi IgG memerlukan ujian antiglobulin tak langsung untuk menunjukkan IgG terikat kepada sel darah merah. [1]:104

Dalam ujian antiglobulin tak langsung, campuran antiserum atau plasma dengan sel darah merah dieram pada 37 °C (99 °F), yakni suhu ideal untuk kereaktifan antibodi IgG. Selepas pengeraman, sel darah merah dibasuh dengan air salina untuk menghilangkan antibodi yang tak terikat, kemudian reagen globulin anti-manusia ditambah. Jika antibodi IgG telah terikat pada antigen di permukaan sel, globulin anti-manusia akan terikat dengan antibodi tersebut, menyebabkan sel darah merah tergumpal selepas pengemparan. Jika tindak balas negatif, "sel semakan" (yakni sel reagen yang bersalut IgG) ditambah untuk memastikan ujian berfungsi dengan betul. Jika keputusan ujian sememangnya negatif, sel semakan harus bertindak balas dengan globulin anti-manusia yang tak terikat dan menunjukkan pengaglutinatan. [3]